Sunday, February 14, 2021

CERITA AKU : TAK KENAL MAKA TAK CINTA BHG. 1

 SETELAH lebih  tiga dekad  saya berada dalam dunia penulisan baru kini saya  ingin menurunkan ilmu penulisan kepada mereka yang berminat.  Sebelum ini memang ada beberapa orang individu yang menyatakan hasratnya untuk belajar menulis tapi saya tolak kerana susah dan perlukan banyak masa kalau hendak belajar dari zero. Ketika itu juga saya sibuk dengan rautin saya.

          Ketika pertama kali saya menemui Ustaz Azizi Hj. Abdullah atau saya panggil Tukya meminta bimbingannya, saya bawa sebuah cerpen yang telah tersiar yang berjudul “MENCARI CINTA” dan saya tulis cerpen lain yang berjudul “NENEK UTIH”. Saya juga menyatakan hasrat saya untuk belajar menulis Skrip Drama TV tapi Ustaz Azizi Hj. Abdullah tolak juga kerana rautinnya yang sibuk menulis.

Saya juga  sama sepertimana orang lain amat teruja untuk melatih dan punya anak didik dalam bidang yang diceburi. Namun keadaan ketika itu masih belum mengizinkan,  hanya kini saya dapat terjemahkan hasrat ini.

Saya memang amat berminat menulis terutama untuk menghasilkan skrip drama TV. Di awal remaja saya tanpa ilmu dan tanpa bimbingan saya telah menulis drama dan menghantarnya ke slot drama minggu ini terbitan RTM. Karya saya tidak disiarkan namun beberapa lama selepas itu idea saya telah diambil dan disiarkan oleh pihak TV. Selepas itu saya berazam tidak akan menulis lagi sehingga saya mendapat teknik untuk menghasilkan drama dan berjumpa dengan orang yang betul.

Lalu saya  mula dengan menulis diruangan forum di akhbar tempatan. Apa  saja yang saya tulis dan hantar disiarkan menyakinkan  yang saya mampu menulis. Idea penulisan saya diterima. Ketika saya giat menulis di forum saya mendapat tahu yang Pejabat  Belia & Sukan Daerah SPT dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Kursus Penulisan Kreatif Hujung Minggu. Saya mendaftarkan diri untuk mengikut kursus tersebut.

Memang ketika saya menghadiri kursus tersebut bahan-bahan yang hendak digarap telah sendat di otak kepala saya, Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk mencanainya menjadi karya.  Kursus tersebut dibimbing oleh Drs. Darwis Harahap Guru Bahasa di USM Pulau Pinang. Alhamdulillah bimbingan Drs Darwis Harahap saya mampu menulis. Sejak itu saya tulis dan menulis.

Sebenarnya ketika saya aktif menulis khususnya politik dahulu saya hampir-hampir berjaya menerbit empat buah buku. Dua manuksrip buku politik  telah saya serahkan kepada En. Ahmad  seorang penerbit dari Pulau Pinang tetapi menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur dan beliau telah membuat bayaran pendahuluan.  Entah mengapa akhirnya beliau membatalkan hasratnya.

Dua lagi manuskrip buku politik mengenai politik di Pulau Pinang.  Saya telah mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menulis sebuah buku politik melayu Pulau Pinang. Ketika itu Datuk Seri Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Manakala senaskah buku politik atas permintaan Datuk Dr. Ibrahim Saad (kini Tan Sri Dr.), ketika itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, beliau meminta saya menulis mengenai UMNO Bukit Mertajam untuk menjadi dokumentasi di masa depan. Saya telah menemubual agak ramai tokoh-tokoh politik UMNO Bukit Mertajam dan menulisnya.

Sayang  seribu kali sayang ketika kedua-dua buku itu hampir siap tiba-tiba berlaku peristiwa hitam 3 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim di singkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kemudiannya keahlian UMNO menyebabkan kedua-dua manuskrip itu  itu terus berada dalam simpanan.  Selepas penyingkiran itu  tokoh-tokoh politik sibuk membetulkan keadaan kerana penyingkiran itu telah meletuskan gerakan reformasi.

Lama selepas itu saya telah dicabar oleh Tok Guru Menulis tak formal saya arwah Ustaz Aziz Hj. Abdullah yang saya panggil Tukya. Saya memanggil Ustaz Azizi Tukya kerana ketika pertama kali saya ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim tertera Rumah Tukya. Saya yakin mungkin Ustaz Azizi senang dengan watak Tukya tokoh utama dalam novelnya Seorang Tua Di kaki Gunung. Novel tersebut pernah menjadi buku teks sastera pelajar tingkatan 5 suatu waktu dulu. Lalu saya meminta izin kepadanya untuk memanggil dengan panggilan Tukya.

Tukya melemparkan cabarannya kepada saya apabila  saya terserempak dengan Tukya di kedai makan di kampung saya dan kami berbual mengenai dunia penulisan tiba-tiba tersembur kata-kata ini yang mencabar saya.

”Aku tabik dengan bakat dan kebolehan hang menulis. Hang bukan saja mampu menulis kreatif malah mampu menulis deskritif. Malah aku paling suka tengok hang tulis bab politik, analisa yang hang bagi cukup baik.” katanya.

“Tapi sayang sampai hari ini aku tak tengok pun satu buku atau novel yang berjaya hang terbitkan. Buat buku atau novel tidak sama tulis di akhbar akhirnya orang bungkus nasi lemak. Kalau buku atau novel akan ada di rak buku rumah kita, rak buku perpustakaan dan rakan buku pembaca. Hari ini aku cabar hang.” sambung Tukya.

Saya akui memang masih tidak ada  senaskah buku atau novel yang saya tulis dan diterbitkan. Hanya ada pun beberapa naskah antologi puisi bersama penulis lain. Saya sahut cabaran Tuk Guru Menulis saya, saya balik dan mula mengarap sebuah novel yang saya beri nama “Cinta Anak Tanjung” yang kemudiannya saya ubah menjadi “Hidayah Di Kuala” dan kini saya ubah lagi menjadi “Rusuh Di Kuala”.

BERSAMBUNG BAHAGIAN 2


TERIMA KASIH KERANA MENGIKUTI ARTIKEL DI ATAS JIKA INGIN BELAJAR MENULIS TERUS IKUTI ARTIKEL SEUMPAMA ITU DI SINI. SAYA MOHON UNTUK TUAN/PUAN IKUTI SAMA VIDEO DARI CHANNEL YOUTUBE YANG SAYA BANGUNKAN INI.



BAGI MEREKA YANG SUDAH BOLEH MENULIS, BOLEHLAH MENULIS DI SINI DAN TULISLAH APA SAYA YANG SESUAI DAN UNTUK PENULISAN CERPEN DAN PUISI YANG TERSIAR DI BLOG INI DAN BLOG-BLOG LAIN KELOLAAN SAYA MAKA SAYA AKAN KUMPUL DAN MENGANTOLOGINYA. SILA HANTAR KARYA KE EMEL : nurzaman20@gmail.com








Friday, November 21, 2014

KAUM NABI LUTH MODEN BERSELINDUNG DISEBALIK AGAMA

DULU semasa mula2 mengenali dunia FB yang telah melalui pengalaman diganggu manusia dua alam ini. Akhirnya saya remove seorang demi seorang. dan keadaan jadi reda dan tenang.

Baru-baru ini episod yang sama berulang lagi. Pertama dari sesaorang yang dah lama jadi kawan saya. Saya pernah chating sekali dengan dia dan saya nampak dia mirip kearah itu dan selepas itu saya sudah tidak lagi berminat melayan dia. Dia sering masuk bagi salam... saya jawab dalam hati saja dan tidak respon di chatbox.

Setelah beberapa kali berlaku macam tu akhirnya dia bagi salam dan sent gambar dia. Saya diam dan tidak respon. Dan baru2 ini dia ulangi lagi... lalu saya bertanya untuk apa dia sent gambar dia kepada saya... dia jawab tersilap sent. Saya kata kalau sekali mungkin ya dan dua kali bukan lagi tersilap... lalu saya remove dia.

Esoknya datang lagu seorang... terus approce... mengatakan dia suka tengok saya... bermisai dan berjanggut dan bla...bla... bla. Saya tidak respon sebaliknya merayap ke wall dia... dan saya dapati salah seorang kawan saya ada dalam senarai frenlist dia, dan dia ni juga saya remove.

Saya berfikir panjang untuk menulis bukan tujuan mengaibkan sesiapa kerana saya tidak menyatakan siapa mereka. Saya nak jelaskan yang saya langsung tidak berminat dan saya tak ragu2 akan remove sesiapa saja yang menunjukkan sikap sedemikian.

Saya yakin ramai yang melalui pengalaman seumpama ini tapi mendiamkan diri... jangan diam bagi membendung gejala ini kita perlu ceritakan... supaya golongan ini tidak bermaharajalela di sini.

Gejala ini memang berluasa dalam media social. Malah yang paling menghairankan saya ada golongan ini berselindung di sebalik imej Islam. Terdapat juga yang menggunakan gelaran bapa angkat da nada yang meminta untuk dijadikan anak atau adik angkat. Gelaran itu bertujuan untuk memesrakan perhubungan dan kemudiannya mereka akan memasukan jarum halus mereka mempergaruhi orang yang mereka dekati.




Golongan ini merupakan jelmaan kaum Nabi Luth dulu. Nabi Luth adalah anak saudara dari Nabi Ibrahim. Ayahnya yang bernama Hasan bin Tareh adalah saudara sekandung dari Nabi Ibrahim. Ia beriman kepada bapa saudaranya Nabi Ibrahim mendampinginya dalam semua perjalanan dan sewaktu mereka berada di Mesir berusaha bersama dalam bidang perternakan yang berhasil dengan baik binatang ternaknya berkembang biak sehingga dalam waktu yang singkat jumlah yang sudah berlipat ganda itu tidak dapat ditampung dalam tempat yang disediakan .

 Akhirnya perkongsian Ibrahim-Luth dipecah dan binatang ternakan serta harta milik perusahaan mereka di bahagi dan berpisahlah Luth dengan Ibrahim pindah ke Yordania dan bermukim di sebuah tempat bernama Sadum.

Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah tingkat moralnya,rosak mentalnya, tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang beradab. Kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela dalam pergaulan hidup mereka. Pencurian dan perampasan harta milik merupakan kejadian hari-hari di mana yang kuat menjadi kuasa sedang yang lemah menjadi korban penindasan dan perlakuan sewenang-wenang.

 Maksiat yang paling menonjol yang menjadi ciri khas hidup mereka adalah perbuatan homoseks {liwat} di kalangan lelakinya dan lesbian di kalangan wanitanya. Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehinggakan ianya merupakan suatu kebudayaan bagi kaum Sadum.

Nabi Luth mengajak mereka beriman dan beribadah kepada Allah meninggalkan kebiasaan mungkar menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan kejahatan yang diilhamkan oleh iblis dan syaitan. Ia memberi penerang kepada mereka bahawa Allah telah mencipta mereka dan alam sekitar mereka tidak meredhai amal perbuatan mereka yang mendekati sifat dan tabiat kebinatangan dan tidak sesuai dengan nilai-nilai kemanusiaan dan bahawa Allah akan memberi ganjaran setimpal dengan amal kebajikan mereka. Yang berbuat baik dan beramal soleh akan diganjar dengan syurga di akhirat sedang yang melakukan perbuatan mungkar akan di balaskannya dengan memasukkannya ke dalam neraka Jahanam.

Allah SWT berfirman: "Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)." (QS. an-Naml: 54-55)

Sabda pula Nabi Muhammad bersabda, maksudnya: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke
atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan

seumpama kaum Luth." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim).

Wednesday, November 19, 2014

LOGIKKAH RON95 LEBIH MAHAL?

Pada bulan Oktober lepas Kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO ada membuat RASIONALISASI SUBSIDI MINYAK, menurut kerajaan subsidi minyak RON95 dikurangan subsidi sebanyak 20 sen menjadikan harganya 2.30/litre. Manakala diesel pula berharga RM2.20/litre. Kerajaan dikatakan masih menanggung subsidi untuk RON 95 ialah RM0.28/liter dan RM0.32/liter.


HARI INI KERAJAAN TELAH MENURUNKAN HARGA MINYAK RON97 KEPADA RM2.55.

BERDASARKAN PERKEMBANGAN INI MEMBUKTIKAN MEMANG SELAMA INI KERAJAAN BN YANG DITERAJUI OLEH UMNO TELAH MENIPU DAN MEMPERMAINKAN RAKYTANYA SENDIRI. SEKIRANYA RON97 RM2.55 TAK MENGAPA KITA KATAKAN TIADA SUBSIDI DI BERI MAKA MINYAK INI YANG RAMAI MENGATAKAN LEBIH BERKUALITI ADALAH LEBIH MURAH DARIPADA HARGA MINYA RON95 YANG KUALITINYA LEBIH RENDAH.

HARGA RON95 RM2.30/LITRE + SUBSIDI RM0.28/LITRE = RM2.58/LITRE
HARGA DIESEL RM2.20/LITRE + SUBSIDI RM0.32/LITRE = RM2.52/LITRE

LOGIKKAH , HARGA MINYAK YANG DIKATAKAN KURANG SIKIT MUTUNYA YANG DIGUNAKAN OLEH RAKYAT BIASA LEBIH MAHAL DARIPADA MINYAK YANG BERKUALITI? JELAS SEKALI KERAJAAN BN YANG DITERAJUI OLEH UMNO MENIPU RAKYATNYA SENDIRI.


Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan

http://www.astroawani.com/…/kisah-minyak-bersubsidi-di-mala…

Saturday, June 22, 2013

Pengamal Perubatan Lebih Prihatin

Pengamal perubatan tidak kira samada klinik kerajaan atau swasta diingatkan supaya bekerja dengan cukup baik dan lebih teliti kerana ianya melibatkan nyawa dan  anggota  pesakit. Harus diingat dengan kecuaian dan kelalaian pengamal perubatan pesakit mungkin boleh kehilangan nyawa. Pesakit juga boleh kehilangan anggota atau menjadi cacat.

Apabila pesakit pergi berjumpa dan ingin mendapat rawatan semak dulu rekod yang terdahulu. Jika sakit yang sama berulang kali maka pemeriksaan lebih rapi perlu dibuat. Jangan pakai teori yang terdahulu untuk memberikan  ubat yang sama kepada pesakit. Mungkin betul dan mungkin juga tidak betul teori yang terdahulu.

Menurut Rusni Mahmud suaminya Abd Razak telah lama mengalami sakit di kawasan hulu hatinya. Setiap kali pergi berjumpa pengamal perubatan mereka memberikan ubat gasric , angin dan lain-lain. Dan baru-baru ini apabila dia melihat keadaan suaminya agak lain maka dia membawa suaminya pergi mendapat rawatan di Kedah Medical Centre (KMC).

Setelah pemeriksaan rapi dibuat mendapati ada batu di hempedunya. Pihak KMC telah membuat dua pembedahan dan kos rawatan lebih kurang RM18k.  Cuba bayangkan kalau Rusni Mahmud dan suaminya Abd. Razak tidak punya wang dan kemudahan insuran,  tidak mustahil boleh membawa maut. Namun begitu akibat kelalaian pengamal perubatan yang terdahulu suaminya telah kehilangan hempedu dan mereka kehilangan RM18k dan lain-lain lagi.

Disamping itu Rusni Mahmud sendiri  baru-baru ini merasa sakit betis. Beliau telah pergi menemui pengamal perubatan kerajaan dan swasta biasa, mereka memberi  pelbagai andaian  seperti sakit urat dan sebagainya tanpa membuat pemeriksaan yang rapi. Beliau terus merasa sakit jadi berdasarkan pengalaman yang dilaluinya bersama suami, lalu beliau sekali lagi mendapat rawatan daripada KMC dan akhirnya beliau disahkan ada jangkitan kuman di situ. Cuba bayangkan kalau beliau orang biasa dan ada penyakit kencing manis tidak mustahil  kakinya di potong.

Saya sendiri pernah mengalami sakit yang agak pelik  kerana apabila saya bangun tidur tiba-tiba mulut  saya herot dan mata saya terjegil tak boleh berkejib. Saya pergi mendapat rawatan daripada klinik kerajaan, pegang saya pun tidak  dan bila saya tanya adakah stroke, pengamal perubatan itu kata tidak dan tidak memberitahu saya apa penyakit yang saya alami.

Akibat tidak berpuashati dengan rawatan itu kerana saya bimbang terkena stroke lalu saya pergi mendapat rawatan daripada klinik swasta. Pengamal perubatan telah menjalankan beberapa ujian dan mengatakan penyakit saya itu bukan stroke tapi di kenali sebagai ‘Bell Palsy’. Beliau menasihati saya terus mendapat rawatan daripada hospital kerajaan dan melalukan beberapa perkara kerana menurut beliau penyakit ini tidak ada ubat yang khusus.

Saya balik dan layar internet dan benar penyakit  ini tidak ada lagi ubat khusus untuk menyembuhkannya. Di Amerika Syarikat terdapat lebih 300 ribu orang akan terkena penyakit ini setahun. Penyakit ini akan baik dalam masa paling awal 3 bulan dan paling lewat 2 tahun dengan syarat mendapat rawatan yang betul.



Saya meneruskan rawatan di hospital kerajaan dan ada sekali saya bertanya adakah perlu yang mendapatkan khidmat urutan, pengamal perubatan itu melarang. Oleh kerana hendak  baik saya terus mendapatkan rawatan daripada mereka dan ikut saja apa nasihat mereka.

Setelah beberapa bulan akhirnya pengamal perubatan merujuk kes saya ke bahagian mata dan seterusnya saya perlu mendapatkan rawatan fisioterapi. Saya berulang alik untuk mendapatkan rawatan di kedua-dua bahagian itu. Pelik bin ajaib apabila saya pergi ke unit fisoterapi mereka mengajar saya teknik mengurut muka yang perlu saya buat setiap hari. Lantaran itu saya buat keputusan sendiri dengan mendapat rawatan urut tapak kaki  bagi membantu saya merawat sakit yang saya hadapi.

Cuba fikir saya pernah bertanya pengamal perubatan untuk mengurut mereka melarang. Cuba bayangkan masa diambil cukup lama untuk menghantar saya ke unit fisioterapi. Saya yakin jika tindakan menghantar saya ke unit fisioterapi diambil lebih awal maka sakit saya ini tidak akan berlarutan.

Persoalannya mengapa harus terjadi semua ini? Pengamal perubatan perlu lebih peka dan prihatin dalam menjalankan tugas kerana ianya melibatkan nyawa dan anggota pesakit?  Dalam kes yang dinyatakan tadi Rusni Mahmud dan suaminya Abd. Razak dapat merujuk sakit mereka ke KMC kerana mereka mempunyai wang  dan kemudahan insuran walaupun agak terlambat tetapi tak terlewat. Dan dalam kes saya kerana tidak punyai kemudahan insuran dan wang dan terpaksa meneruskan rawatan dengan hospital kerajaan tapi masih belum bebas sepenuhnya dari sakit ini.


Persoalan yang timbul lagi, adakah hanya orang berwang dan ada kemudahan insuran saja layak menerima rawatan yang terbaik? Jadi orang biasa atau orang kampung biasa terpaksa meninggal sebelum ajal dan mengalah sebelum kalah (pinjam kata2 Rusni  dalam FB).

JESTERU ITU SAYA AMAT BERHARAP JIKA ADA PENGAMAL PERUBATAN YANG MEMBACA ARTIKEL  INI AKAN MENJALANKAN TUGAS DENGAN LEBIH TELITI DAN BERTANGGUNGJAWAB. SAYA JUGA BEHARAP SEKIRANYA TERDAPAT PIHAK KEMENTERIAN KESIHATAN YANG TERBACA ARTIKEL  INI MEMBERIKAN PERHATIAN DAN MENYEDIAKAN KOD ETIKA KEPADA PENGAMAL PERUBATAN AGAR NASIB RAKYAT MARHEAN TIDAK MALANG.

Friday, September 17, 2010

ISU PEMBUNUHAN DATUK SOSILAWATI

Ambil Iktibar Kes Pembunuhan Jutawan Kosmetik

SEJAK beberapa hari lalu surat khabar di stall penjual surat khabar ‘sold out’. Semuanya berpunca masyarakat hendak mengikuti kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lowiya. Kes pembunuhan ini adalah antara kes pembunuhan paling kejam pernah dilakukan di negara ini. Bermula dengan kes pempunuhan Datuk Mazlan yang dikerat 17 dan setelah itu kes pembunuhan Antantunya Saribu yang diletupkan dengan bom C4.

Artikle ini bukan hendak membicarakan mengenai kes tersebut kerana kes tersebut telah menjadi kes polis. Artikel ini akan membicarakan mengapa kes-kes seumpama ini boleh berlaku. Dirasakan kes ini berpunca daripada sistem pendidikan yang terlalu menitik beratkan soal kelulusan. Sekiranya mendapat kelulusan yang cemerlang maka sesaorang itu akan memperolihi pekerjaan yang baik dengan gaji yang besar dan akan dihormati oleh masyarakat.

Sementara sikap masyarakat yang terlalu dan teramat menghormati dan menyangjungi tinggi orang-orang yang berpangkat, berkuasa, beharta dan hidup senang dan lenang. Kalau orang macam ini apa saja yang dibuat dan dianggap cukup betul dan jawatan-jawatan penting dalam sesuatu masyarakat semua diserahkan kepada orang jenis ini.


Sementara orang yang berakhlak tinggi dan bermoral baik, bijak dan bertanggungjawab lantaran kerana di bukan datangnya daripada orang yang berpangkat selalu diketepikan.Apa yang dicakapkan oleh orang macam ini walaupun bernas namun tidak dipedulikan. Harus diingat, apa yang berlaku ke atas orang itu adalah ketentuan Ilahi. Mungkin dulu keluarganya susah dan tak mampu meneruskan pengajian menyebabkan keadaan dirinya begitu namun hakikatnya dia juga seorang yang pintar.


Lantaran sistem pendidikan dan sikap msyarakat yang terlalu menyangjungi dan menghormati orang yang berpangkat, berharta dan mempmerkan kemewahan hidup maka ini membuatkan anggota masyarakat berlumba-lumba memburu harta dan kekayaan. Mereka melakukan pelbagai cara dan tidak mengambil kira halal dan haram dan tidak lagi mempedulikan undang-undang baik negara mahu pun agama.


Sikap tamak dan haloba beraja di hati dan bersultan di hati. Mereka sanggup menghalalkan cara asalkan matlamat tercapai. Jesteru itu diharapkan kejadian pembunuhan kejam jutawan kosmetik ini akan membuka mata masyarakat dan juga kerajaan agar menilai sepenuhnya sistem pendidikan kita. Biarlah pendidikan di sekolah-sekolah bukan saja mengutamakan kelulusan semata-mata sebaliknya memberikan perhatian terhadap soal moral dan akhlak.

Manakala masyarakat pula yang terlalu menyangjung tinggi dan menghormati orang yang berpangkat dan berharta berlebihan. Masyarakat perlu mengkaji sumber-sumber yang menjadikan orang itu hidup senang dan lenang begitu di samping melihat akhlak dan moralnya sebelum memberikan sanjungan dan penghormatan. Jika semua ini dapat dipratikkan baik oleh kerajaan mahupun oleh masyarakat diyakini akan mengelakkan anggota masyarakat menjadi tamak dan haloba.


TELAH DISIARKAN DI UTARA ONLINE
DI UTARA ONLINE SAYA GUNAKAN NAMA PENA NURZAMAN

Thursday, April 23, 2009

POHON LINTASAN PEJALAN KAKI

BANDAR PERDA: PENDUDUK Bandar Perda memohon agar pihak berkuasa untuk membina satu lintasan penjalan kaki di hadapan Apartment Permata dekat sini bagi mempastikan penduduk tempatan lebih terjamin ketika menyemberang jalan.

Menurut Mazlan Mat Saad, 40, kejadian yang menimpa anaknya baru-baru ini dapat membuka mata pihak berkuasa agar melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlulang lagi.

Katanya, anaknya Mohd Faris, 12, telah dilanggar sebuah motorsikal ketika melintas jalan untuk balik ke rumah kira-kira jam 9.00 malam. Anaknya telah mengalami keretakan di tempurung kepada, patah tulang telinga serta luka-luka kecil dibahagian badan.

“Anak saya terpaksa melalui jalan itu untuk pulang ke rumah kerana tiada jalan lain untuk pulang ke rumah. Ketika kejadian itu saya berada di rumah dan diberitahu oleh rakan anak saya yang sama-sama pulang tuisyen.”

“Saya kesal kerana keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan itu tidak diambil kira. Jalan itu sering digunakan sebagai jalan pintas bagi penduduk tempatan untuk ke kedai di hadapan apartment itu.”

“Kenderaan yang melalui kawasan itu seringkali dipandu dengan laju dan tak sempat untuk mengelak jika terlihat orang melintas.” Katanya.

Thursday, November 6, 2008

PRIHATIN

WARGA EMAS RAYU BANTUAN

BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas, Hassan Bin Salleh, 82, daripada kampung Bukit Teh lebih kurang 7 kilometer daripada sini merayu agar Jabatan Kebajikan Masyarakat Bukit Mertajam untuk segera memproses dan memberi bantuan kerana beliau amat memerlukan bantuan tersebut.

Menurutnya, beliau telah membuat permohonan lama sebelum pilihanraya umum lepas dan pihak jabatan telah datang membuat siasatan. Ketika pegawai itu datang mereka meminta salinan gaji menantunya kerana di rumah tersebut hanya menantunya seorang yang bekerja.

PAK HASAN MERAYU AGAR PERMOHONANNYA DISEGERAKAN KERANA SUDAH LEBIH TIGA TAHUN TIDAK BEKERJA DAN HIDUP MENUMPANG EHSAN MENANTU.


“Saya telah memberi salinan penyata gaji menantu saya dengan pendapatan kira-kira RM900.00 sebulan untuk menyara kehidupan seramai lima orang. Itu pendapatan menantu saya dan dengan pendapatan itu dia terpaksa menyara keluarganya termasuklah diri saya.”

“Saya tidak pernah meminta sebarang bantuan dulu cuma kini saya dah tua dan tak mampu bekerja dan tambahan pula saya sakit. Dua bulan sekali saya terpaksa pergi mendapat rawatan daripada pakar di hospital. Saya terpaksa mengeluarkan bayaran pendaftaran RM5.00 dan kos tambang menambang sedangkan saya tidak ada pendapatan.” Ujarnya penuh pengharapan kepada WARTAWAN RAKYAT.

Beliau seterusnya menceritakan sudah tiga tahun lebih beliau tidak bekerja dan tidak punya pendapatan dan cuma mengharapkan belas ihsan daripada keluarga. Sebelum ini beliau bekerja buruh pembandaran dengan syarikat swasta dan sewaktu zaman mudanya beliau hanya melakukan pelbagai kerja kampung.

“Saya merayu pihak jabatan dapat mempercepatkan proses ini dan saya juga merayu kepada pihak-pihak lain yang Allah Azzajalla melimpahkan rezeki lebih agar dapat menghulurkan bantuan kepadanya. Saya memerlukan bantuan ini hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan.” Katanya.

SESIAPA YANG BERHASRAT UNTUK MENGHULURKAN BANTUAN KEPADA HASSAN SALLEH BOLEH MENGHUBUNGI BELIAU DI ALAMAT :

HASSAN BIN SALLEH,
NO.1466, BUKIT TEH,
14020 BUKIT MERTAJAM,
SEBERANG PERAI TENGAH.
PULAU PINANG.

Thursday, October 9, 2008

ISU TERPINGIR

PERJUANGAN BLOG WARTWAN RAKYAT DAPAT PERHATIAN

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Dr.S.Subramaniam telah mengeluarkan kenyataan akan memberi tumpuan khusus untuk sector tekstil dan elektronik dalam menilai semula kadar gaji minima yang didapti rendah tidak sesuai dengan keadaan semasa.


MENTERI SUMBER MANUSIA INI BERI NAFAS BARU KEPADA PEKERJA DI MALAYSIA., TAPI SEJAUHMANA KOMITMEN BELIAU KITA TUNGGU.


Menurutnya, kedua-dua sector ini perlu mendapat penstrukturan semula bagi mengelak jurang yang ketara dan boleh memberikan kesan kepada taraf hidup pekerja di Negara ini. Perkara ini akan ditentukan oleh Majlis Gaji menerusi perbincangan dengan Persatuan Majikan untuk membolehkan satu panduan bagi menentukan kadar gaji yang bersesuaian.

“Kadar gaji minima untuk sector keselamatan dan perhotelan akan diumumkan dalam masa terdekat setelah pengstrukturan semula di buat melalui majlis tersebut. Kita akan teruskan perbincangan dan mengenal pasti beberapa sector lain.” Katanya


PEMIMPIN MTUC TELAH LAMA PERJUANGKAN ISU INI, NAMPAKNYA PERJUANGAN INI SUDAH MENELURKAN HASIL





Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung dengan beberapa isu termasuk isu gaji minima pekerja.

Subramanian berkata, kadar gaji minima semua sector di Negara ini perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak kehilangan pekerja mahir di Negara ini. Perbincangan akan dibuat secara berterusan.

“Kementerian juga akan mengenal pasti sector dan jenis kerja yang boleh dijadikan medium untuk mengupah tenaga kerja tempatan bagi mengelak pengaliran keluar wang dan pergantungan kepada tenaga kerja asing.”

“Semua majikan dan sector yang ada diminta menyenaraikan kepada kementerian lapangan kerja yang boleh diisu oleh pekerja tempatan. Sasarannya adalah untuk mengurangkan 500,000 tenaga kerja asing di Negara ini dalam tempuh tiga tahun yang akan dating.” ujarnya

Isu ini telah lama diperjuangkan oleh MTUC dan baru-baru ini ketika membina blog ini saya terfikir akan isu ini dan mengangkatnya dalam segmen ISU TERPINGGIR. Alhamdulillah isu ini sudah mendapat perhatian walaupun kebetulan tapi yang penting perjuangan menampakkan hasil.

Ditulis semula daripada laporan akhbar.

Friday, September 19, 2008

ARTIKEL-ISU TERPINGGIR

KERAJAAN PERLU PRIHATIN NASIB PEKERJA SEKTOR SWASTA

SEBAN tahun perbentangan bajet kerajaan langsung tidak memberikan sebarang perhatian kepada para pekerja di sektor swasta. Hanya para pekerja di sector awam yang sering menikmati pelbagai insentif seperti bonus dan sebagainya. Para majikan disektor swasta juga sering mendapat faedah dengan potongan cukai dan duti impot dan sebagainya. Bagaimana nasib para pekerja di sector swasta dianggarkan lebih lebih 10 juta orang?

Kalau diamati struktur pengajian pekerja di sector swasta terutama para pekerja diperingkat bawah rata-ratanya mendapat gaji lebih kurang RM450.00 hingga RM550.00 tidak termasuk bayaran kerja lebih masa maka mereka ini berada dibawah tahap kemiskinan. Menurut kajian terdapat lebih 2 juta pekerja di Negara ini yang berada ditahap kemiskinan. Cuba bayangkan bagaimana pekerja ini hendak hidup dengan gaji sebanyak itu?

Perbelanjaan pergi balik kerja serta makan ditempat kerja secara kasar RM10.00 sehari. Jika beliau bekerja 26 hari sebulan bermakna beliau terpaksa berbelanja RM260.00 sebulan. Apabila ditolak bayaran untuk KWSP dan Sosco berapa yang dibawa pulang? Bagaimana golongan ini hendak menyara kehidupan?

Jika mereka ingin pendapatan lebih mereka terpaksa bekerja lebih masa. Cuba bayangkan pula dengan gaji sebanyak itu berapa bayaran kerja lebih masa yang bakal diperolihi. Mereka akan menerima lebih kurang RM3.00 hingga RM4.00 sejam. Katakan mereka buat kerja lebih masa lebih kurang 60 jam, pendapatan tambahan yang bakal mereka perolihi disekitar RM180.00 – RM240.00. Adakah pendapatan sebegini kita boleh mengatakan kehidupan rakyat negara ini makmur. Adakah pendapatan macam ini, kita boleh menjaja bahawa Negara kita bertaraf Negara maju?

Apabila mereka bekerja lebih masa atau melakukan kerja sampingan lain jika ada kesempatan, bagaimana mereka hendak mendidik anak-anak? Jadi jangan hairanlah gejala social dikalangan remaja hari ini begitu berluasa kerana keluarga terpaksa sibuk memerah keringat untuk mencukupkan belanja rumahtangga.

WARTAWAN RAKYAT sempat menebual beberapa orang pekerja di sekor industri dan rata-rata mereka mengeluh dan merasa tertekan dengan keadaan pendapatan dan kedudukan ekonomi Negara ini.

Menurut Muhamad Hashim Bin Yaacob,26, seorang pekerja industri di Prai dan kini tinggal di permatang pauh memberitahu, beliau dan isteri terpaksa bekerja 12 jam sehari hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih sikit RM1,000.00 seorang. Namun terdapat segelintir para pemimpin Negara pernah mengatakan bahawa pekerja tempatan di Negara ini malas.

“Untuk mendapatkan gaji sebanyak itu kami terpaksa mengadai segala kegiatan masyarakat malah kami tidak punya banyak masa untuk berada bersama keluarga. Bagi mendapatkan pendapatan lebih kami terpaksa menjalankan perniagaan sambilan.”

“Jadi sekiranya pihak kerajaan dapat melaksanakan gaji minima untuk pekerja swasta RM1200.00 sepertimana dituntut oleh MTUC maka kami tak payahlah menghabiskan banyak masa ditempat kerja dan menjalankan perniagaan sampingan. Kami pasti punya banyak masa untuk keluarga dan masyarakat.” Ujarnya.

Seorang lagi pekerja industri di Prai yang ditemui Mas Bairi Bin Hasan,29, yang kini menetap di Sungai Petani pula berpendapat, gaji yang diterima oleh para pekerja bawahan industri memang tidak patut lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan lain pasti membebankan golongan ini.

“Cuba bayangkan dengan gaji pokok di sekitar RM400.00 – RM500.00 apa yang boleh dibuat. Jadi saya amat berharap MTUC benar-benar mendesak kerajaan untuk melaksanakan dasar gaji minima bagi pekerja.”

“MTUC yang mewakili para pekerja di sector swasta khususnya pekerja industri wajar membuat desakan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan dasar ini.. Manakala pihak kerajaan yang mengatakan sebagai pembela rakyat dan sering mengucapkan bahawa Negara kita ini makmur mesti membuktikan bahawa Negara ini benar-benar-benar makmur.”

“Apabila kerajaan menaikan minyak mereka seringkali membandingkan dengan singapura mengapa dalam soal ini kerajaan kita tidak mahu membandingkan gaji para pekerja Negara ini dengan singapura yang diketahui jauh lebih tinggi daripada Negara kita.” Katanya kepada WARTAWAN RAKYAT.

Wartawan Rakyat juga sempat menebual seorang lagi pekerja industri di Prai yang kini tinggal di Butterworth, Azhar Ahmad,35, selama ini pihak kerajaan sentiasa menganak tirikan para pekerja di sector swasta. Memang setiap kali pembentangan bajet para pekerja di sector swasta tidak mendapat banyak faedah yang sering mendapat faedah ialah majikan.

“Saya meminta pihak MTUC agar lebih aggresif mendesak pihak kerajaan dan tunjukkan kepada kerajaan bahawa pekerja di sector swasta khususnya industri juga banyak menyumbang kea rah pembangunan Negara.”

“Tidakkah para pemimpin kerajaan sedar, apa yang dapat dibuat dengan gaji sebanyak itu. Rata-rata yang menerima gaji kecil itu adalah pekerja melayu sedangkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO sering mendakwa menjadi perjuang dan pembela bangsa. Jadi dalam soal ini di mana mereka meletakan prinsip perjuangan itu?” soalnya.


Ada suara-suara sumbang yang mengatakan jika kita memberikan para pekerja kita gaji mahal para pelabur akan lari. Persoalannya kenapa pihak kerajaan yang mempromosi untuk menarik pelabur asing ke negara ini menjaja gaji pekerja di negara ini ditahap itu? Mengapa pihak kerajaan yang mempromosikan program menarik pelabur tidak mengenengahkan kemahiran pekerja negara kita yang telah lebih 30 tahun bergiat dibidang perindustrian sejak tahun 60an?


Kita semua tahu, urusniaga dunia menggunakan mata wang amerika jadi jika gaji pekerja negara ini dilingkungan RM450.00 – RM550.00 berapa nilainya mata wang amerika? Gaji pereja Malaysia mengikut kadar wang amerika hanya RA 173.00 – RA 211.00. Dan berapalah nilainya jika gaji pekerja dibayar sebanyak RM900.00 serta elaun RM300.00 menjadikan RM1200.00 sepertimana yang diminta oleh MTUC. Kalau gaji minima yang diminta sebanyak itu mengikut mata wang amerika hanya sekitar RA415.00.

Mengapa begitu berat sangat kerajaan Negara ini hendak melaksanakannya? Kalau kita kata pelabur akan lari jika kos pekerja tinggi, dakwaan itu tidak dapat diterima kerana kita lihat di singapura sendiri kenapa pelabur tetap terus melabur di Negara itu. Pelabur tidak akan lari sekiranya para pekerja yang kita bekalkan mempunyai kemahiran yang tinggi. Jesteru itu di harap pihak kerajaan yang lagi berdolak dalih dalam soal ini.

Mengikut takrifan polisi gaji minimum yang dikeluarkan oleh "International Labour Organization" atau ILO, gaji minimum adalah satu amaun minimum yang ideal, yang harus dibayar oleh majikan kepada pekerjanya bersesuaian dengan keperluan minimum harian seseorang pekerja dan keluarganya.

Kadar gaji minimum juga haruslah selari dengan keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara. Bayaran yang dibuat adalah mengikut kadar kiraan bulanan, harian atau jam. Kira-kira lebih 90% negara di seluruh dunia mengamalkan dasar gaji minimum yang bersesuaian dengan sistem ekonomi negara masing-masing.

Ada negara yang telah menguatkuasakan dasar gaji minimum seawal tahun 1900-an. Negara Australia umpamanya telah menguatkuasakan dasar gaji minimum seawal 1904, manakala negara Amerika Syarikat pula telah memperkenalkan dasar gaji minimum sejak tahun 1938. Dasar gaji minimum ini bukan sahaja diterima pakai di negara-negara maju, malahan ia turut dilaksanakan di negara-negara dunia ketiga seperti Korea Selatan dan Sri Lanka.

Terdapat pelbagai kebaikan sekiranya dasar gaji minimum yang ideal dan manusiawi dapat dikuatkuasakan. Jika diukur daripada takrifan gaji minimum yang dikeluarkan oleh ILO, ia dengan jelas menunjukkan bahawa dasar gaji minimum merupakan salah satu kunci bagi menangani masalah kemiskinan serta dapat meningkatkan pendapatan bagi pekerja yang bergaji rendah. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang pekerja dan keluarganya.
Dasar ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pekerja semata-mata, malahan ia juga memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Ini adalah kerana dasar gaji minimum boleh meningkatkan kuasa beli dan kadar belanjawan pekerja. Sebagai contoh, pekerja yang berpendapatan rendah sebelum ini, dapat memperuntukkan gajinya untuk berbelanja dan bercuti bersama keluarga.

Selain itu, kebergantungan pekerja terhadap kerajaan juga akan berkurangan bilamana dengan pendapatan yang sesuai dengan keadaan semasa ekonomi serta sosial negara, maka pekerja dapat mengatasi beban kewangan yang ditanggung serta tidak bergantung kepada dasar kebajikan kerajaan semata-mata. Kesannya, pihak kerajaan mempunyai peruntukan dana yang lebih untuk disalurkan kepada sektor yang lebih mendesak serta memerlukan.

Jesteru itu kerajaan wajar memperkenalkan dasar gaji minimum pekerja di negara ini dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan rakyat serta usaha mewujudkan keluarga bahagian dan membasmi gejala sosial yang semakin ketara dikalangan remaja di negara ini. Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan permohonan yang di buat oleh pihak MTUC demi untuk kemaslatan para pekerja di negara ini dan mereka benar-benar merasakan negara ini benar-benar makmur seperti yang sering diucapkan oleh para pemimpin negara.

Thursday, September 11, 2008

PRIHATIN

PERSATUAN BEKAS POLIS WAJIB BANTU SALEH

BUKIT MERTAJAM: Persatuan Bekas Polis Cawangan Pulau Pinang khususnya Seberang Perai disaran untuk memberi sedikit perhatian dan membela Saleh Lazim, 77, seorang bekas polis bantuan (AC) dizaman darurat tapi telah bertahun-tahun berada dalam keadaan kurang siuman.

Beliau akan merayau dengan pakaian yang tidak terurus di kawasan kampung Machang Bubok. Satu keanihan beliau tidak mengganggu orang awam dan beliau akan bayar apabila makan. Sekiranya tidak cukup belanja beliau akan meminta daripada orang yang dikenali saja.

Wartawan Rakyat sempat menebual rakan sejawatnya Dahaman Awang, 77, bagi mendapatkan cerita peristiwa rakan sejawatnya itu sehingga menjadi tidak siuman.

Menurut Dahaman, beliau dan Saleh telah memasuki pasukan polis bantuan pada dan telah menjalani latihan di padang BMRC (Bukit Mertajam Recreration Club). Kini tapak itu telah dibangunkan hotel dan pusat perniagaan summit.

“Saya menggunakan no. dan Saleh menggunakan nombor. Selepas menjalani latihan kami dihantar berkawal empangan yang menyalurkan air ke stesen keretapi di atas Bukit Seraya di Machang Bubok.”

“Saya tak lama di situ kemudian di tukar ke Simpang Empat dan Saleh terus kekal di Bukit Seraya sehinggalah beliau menembak seekor kera putih. Mengikut cerita kawan-kawan saya yang berada bersama Saleh waktu itu, selepas beliau menembak kera putih lalu melempar senapang dan berlari turun ke kampung Machang Bubok dan menjadi tidak siuman hingga kini.”

“Semasa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM1000.00 bagi setiap anggota pasukan polis bantuan dan mendaftar mereka sebagai ahli persatuan bekas anggota polis. Saya cuba membantu beliau tetapi saya tidak punya kenderaan untuk bawa beliau ambil gambar dan pergi ke pejabat persatuan.” Cerita Dahaman kepada Wartawan Rakyat.

Menurut Setiausaha JKKK (P), Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Hj. Mohd Jamin Hj. Ahmad, Saleh Lazim selama ini berada dibawah pengawasaan dan seliaan jawatankuasa ini berhubungan dengan kebajikan dan kesihatan beliau.

“Setakat ini beliau menerima bantuan Jabatan Kebajikan dan pihak JKKK(P) telah melantik seorang pemegagang amanah. Masalah beliau kini beliau lebih senang merayau dan sering menjadikan masjid sebagai tempat tidur beliau. Pernah sautu ketika orang kampung membuat pondok untuk beliau tinggal tetapi ditinggallkan begitu saja.”

Jadi sempena sambutan Hari Raya tahun ini saya berharap pihak Persatuan Bekas Polis dapat melakukan sesuatu sekurang-kurangnya sebagai penghargaan terhadap khidmat yang pernah diberi.” Ujar Hj. Mohd Jamin kepada Wartawan Rakyat.

Setiausaha JKKK(P) itu memberitahu Wartawan Rakyat, sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, derma atau pun zakat boleh menghubungi beliau di talian 013-3658268.

Friday, August 29, 2008

MINDA BLOGGER

Salam Perkenalan dan Salam hormat

KINI muncul pula blog WARTAWAN RAKYAT bagi menghangatkan dunia maya tanpa sempadan di negara kita. Blog ini adalah blog yang ke-11 yang saya bina. Walaupun saya mungkin menghadapi kesukaran untuk menguruskannya tapi saya tetap berazam untuk memberikan yang terbaik

Cetusan idea membina blog ini setelah melalui satu episod yang sedikit mendebarkan bersama sahabat saya omara. Biarlah perkara ini kami berdua saja yang tahu. Omara adalah seorang pengiat seni dan budaya yang memiliki blog WARISAN BORIA dan WARISAN GHAZAL PARTI.

Dalam negara yang sering dikatakan makmur ini masih banyak terdapat insan atau rakyat negara ini yang hidup menderita dan tersisih jauh daripada arus kemajuan. Dalam negara yang dikatakan makmur ini, masih terdapat rakyat yang masih berhempas pulas semata-mata untuk mendapat rezeki umpama ayam yang kais pagi untuk makan pagi dan kais petang untuk makan petang.

Dalam negara yang dikatakan maju ini masih lagi terdapat rakyat yang tidak mempunyai kemudahan asas yang sempurna. Dalam negara yang mana dikatakan memberikan pelbagai peluang untuk rakyat, masih terdapat rakyat terutama golongan perniaga mengambil pinjaman dari along dan seterusnya menimbulkan pelbagai masalah untuk dirinya dan keluarga.

Dalam negara yang dikatakan sejahtera ini masih terdapat rakyat yang hidup sentiasa dalam ketakutan. Takut dirompak, diragut ,dicolek dan sebagainya. Dalam negara yang dikatakan mempunyai temadun yang tinggi masih terdapat mereka yang terbiar tanpa pembelaan.

Banyak isu-isu begini selalu terlepas pandang oleh pihak pemerintah dan jarang mendapat perhatian pihak media untuk mengetengahkannya agar pihak berkuasa mengambil tindakan.

Jesteru kesedaran ini saya mengambil kesempatan membina blog WARTAWAN RAKYAT yang bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu ini kepengetahuan masyarakat dan seterusnya pemerintah agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Blog ini juga akan membuka kepada orang-orang kaya yang ingin mengeluarkan zakat tetapi tidak tahu di mana hendak memberinya. Orang-orang kaya boleh mengutip insan-insan malang yang dipaparkan dalam blog ini dari masa ke semasa.

Bagi mendapatkan bahan dan memberikan persembahan yang menarik saya menyeru pelayar-pelayar internet yang budiman dapat menghulurkan derma dalam usaha bloger mengali cerita-cerita seumpama ini di serata ceruk. Tanpa bantuan dan sokongan Tuan/Puan saya akan buat sekadar yang termampu dan terdaya oleh saya.

Usaha murni ini akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Ini adalah sumbangan saya kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dengan bakat dan kepakaran yang saya miliki.

Salam hormat dari saya.