Thursday, November 6, 2008

PRIHATIN

WARGA EMAS RAYU BANTUAN

BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas, Hassan Bin Salleh, 82, daripada kampung Bukit Teh lebih kurang 7 kilometer daripada sini merayu agar Jabatan Kebajikan Masyarakat Bukit Mertajam untuk segera memproses dan memberi bantuan kerana beliau amat memerlukan bantuan tersebut.

Menurutnya, beliau telah membuat permohonan lama sebelum pilihanraya umum lepas dan pihak jabatan telah datang membuat siasatan. Ketika pegawai itu datang mereka meminta salinan gaji menantunya kerana di rumah tersebut hanya menantunya seorang yang bekerja.

PAK HASAN MERAYU AGAR PERMOHONANNYA DISEGERAKAN KERANA SUDAH LEBIH TIGA TAHUN TIDAK BEKERJA DAN HIDUP MENUMPANG EHSAN MENANTU.


“Saya telah memberi salinan penyata gaji menantu saya dengan pendapatan kira-kira RM900.00 sebulan untuk menyara kehidupan seramai lima orang. Itu pendapatan menantu saya dan dengan pendapatan itu dia terpaksa menyara keluarganya termasuklah diri saya.”

“Saya tidak pernah meminta sebarang bantuan dulu cuma kini saya dah tua dan tak mampu bekerja dan tambahan pula saya sakit. Dua bulan sekali saya terpaksa pergi mendapat rawatan daripada pakar di hospital. Saya terpaksa mengeluarkan bayaran pendaftaran RM5.00 dan kos tambang menambang sedangkan saya tidak ada pendapatan.” Ujarnya penuh pengharapan kepada WARTAWAN RAKYAT.

Beliau seterusnya menceritakan sudah tiga tahun lebih beliau tidak bekerja dan tidak punya pendapatan dan cuma mengharapkan belas ihsan daripada keluarga. Sebelum ini beliau bekerja buruh pembandaran dengan syarikat swasta dan sewaktu zaman mudanya beliau hanya melakukan pelbagai kerja kampung.

“Saya merayu pihak jabatan dapat mempercepatkan proses ini dan saya juga merayu kepada pihak-pihak lain yang Allah Azzajalla melimpahkan rezeki lebih agar dapat menghulurkan bantuan kepadanya. Saya memerlukan bantuan ini hanya sekadar untuk meneruskan kehidupan.” Katanya.

SESIAPA YANG BERHASRAT UNTUK MENGHULURKAN BANTUAN KEPADA HASSAN SALLEH BOLEH MENGHUBUNGI BELIAU DI ALAMAT :

HASSAN BIN SALLEH,
NO.1466, BUKIT TEH,
14020 BUKIT MERTAJAM,
SEBERANG PERAI TENGAH.
PULAU PINANG.

Thursday, October 9, 2008

ISU TERPINGIR

PERJUANGAN BLOG WARTWAN RAKYAT DAPAT PERHATIAN

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Dr.S.Subramaniam telah mengeluarkan kenyataan akan memberi tumpuan khusus untuk sector tekstil dan elektronik dalam menilai semula kadar gaji minima yang didapti rendah tidak sesuai dengan keadaan semasa.


MENTERI SUMBER MANUSIA INI BERI NAFAS BARU KEPADA PEKERJA DI MALAYSIA., TAPI SEJAUHMANA KOMITMEN BELIAU KITA TUNGGU.


Menurutnya, kedua-dua sector ini perlu mendapat penstrukturan semula bagi mengelak jurang yang ketara dan boleh memberikan kesan kepada taraf hidup pekerja di Negara ini. Perkara ini akan ditentukan oleh Majlis Gaji menerusi perbincangan dengan Persatuan Majikan untuk membolehkan satu panduan bagi menentukan kadar gaji yang bersesuaian.

“Kadar gaji minima untuk sector keselamatan dan perhotelan akan diumumkan dalam masa terdekat setelah pengstrukturan semula di buat melalui majlis tersebut. Kita akan teruskan perbincangan dan mengenal pasti beberapa sector lain.” Katanya


PEMIMPIN MTUC TELAH LAMA PERJUANGKAN ISU INI, NAMPAKNYA PERJUANGAN INI SUDAH MENELURKAN HASIL





Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung dengan beberapa isu termasuk isu gaji minima pekerja.

Subramanian berkata, kadar gaji minima semua sector di Negara ini perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak kehilangan pekerja mahir di Negara ini. Perbincangan akan dibuat secara berterusan.

“Kementerian juga akan mengenal pasti sector dan jenis kerja yang boleh dijadikan medium untuk mengupah tenaga kerja tempatan bagi mengelak pengaliran keluar wang dan pergantungan kepada tenaga kerja asing.”

“Semua majikan dan sector yang ada diminta menyenaraikan kepada kementerian lapangan kerja yang boleh diisu oleh pekerja tempatan. Sasarannya adalah untuk mengurangkan 500,000 tenaga kerja asing di Negara ini dalam tempuh tiga tahun yang akan dating.” ujarnya

Isu ini telah lama diperjuangkan oleh MTUC dan baru-baru ini ketika membina blog ini saya terfikir akan isu ini dan mengangkatnya dalam segmen ISU TERPINGGIR. Alhamdulillah isu ini sudah mendapat perhatian walaupun kebetulan tapi yang penting perjuangan menampakkan hasil.

Ditulis semula daripada laporan akhbar.

Friday, September 19, 2008

ARTIKEL-ISU TERPINGGIR

KERAJAAN PERLU PRIHATIN NASIB PEKERJA SEKTOR SWASTA

SEBAN tahun perbentangan bajet kerajaan langsung tidak memberikan sebarang perhatian kepada para pekerja di sektor swasta. Hanya para pekerja di sector awam yang sering menikmati pelbagai insentif seperti bonus dan sebagainya. Para majikan disektor swasta juga sering mendapat faedah dengan potongan cukai dan duti impot dan sebagainya. Bagaimana nasib para pekerja di sector swasta dianggarkan lebih lebih 10 juta orang?

Kalau diamati struktur pengajian pekerja di sector swasta terutama para pekerja diperingkat bawah rata-ratanya mendapat gaji lebih kurang RM450.00 hingga RM550.00 tidak termasuk bayaran kerja lebih masa maka mereka ini berada dibawah tahap kemiskinan. Menurut kajian terdapat lebih 2 juta pekerja di Negara ini yang berada ditahap kemiskinan. Cuba bayangkan bagaimana pekerja ini hendak hidup dengan gaji sebanyak itu?

Perbelanjaan pergi balik kerja serta makan ditempat kerja secara kasar RM10.00 sehari. Jika beliau bekerja 26 hari sebulan bermakna beliau terpaksa berbelanja RM260.00 sebulan. Apabila ditolak bayaran untuk KWSP dan Sosco berapa yang dibawa pulang? Bagaimana golongan ini hendak menyara kehidupan?

Jika mereka ingin pendapatan lebih mereka terpaksa bekerja lebih masa. Cuba bayangkan pula dengan gaji sebanyak itu berapa bayaran kerja lebih masa yang bakal diperolihi. Mereka akan menerima lebih kurang RM3.00 hingga RM4.00 sejam. Katakan mereka buat kerja lebih masa lebih kurang 60 jam, pendapatan tambahan yang bakal mereka perolihi disekitar RM180.00 – RM240.00. Adakah pendapatan sebegini kita boleh mengatakan kehidupan rakyat negara ini makmur. Adakah pendapatan macam ini, kita boleh menjaja bahawa Negara kita bertaraf Negara maju?

Apabila mereka bekerja lebih masa atau melakukan kerja sampingan lain jika ada kesempatan, bagaimana mereka hendak mendidik anak-anak? Jadi jangan hairanlah gejala social dikalangan remaja hari ini begitu berluasa kerana keluarga terpaksa sibuk memerah keringat untuk mencukupkan belanja rumahtangga.

WARTAWAN RAKYAT sempat menebual beberapa orang pekerja di sekor industri dan rata-rata mereka mengeluh dan merasa tertekan dengan keadaan pendapatan dan kedudukan ekonomi Negara ini.

Menurut Muhamad Hashim Bin Yaacob,26, seorang pekerja industri di Prai dan kini tinggal di permatang pauh memberitahu, beliau dan isteri terpaksa bekerja 12 jam sehari hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih sikit RM1,000.00 seorang. Namun terdapat segelintir para pemimpin Negara pernah mengatakan bahawa pekerja tempatan di Negara ini malas.

“Untuk mendapatkan gaji sebanyak itu kami terpaksa mengadai segala kegiatan masyarakat malah kami tidak punya banyak masa untuk berada bersama keluarga. Bagi mendapatkan pendapatan lebih kami terpaksa menjalankan perniagaan sambilan.”

“Jadi sekiranya pihak kerajaan dapat melaksanakan gaji minima untuk pekerja swasta RM1200.00 sepertimana dituntut oleh MTUC maka kami tak payahlah menghabiskan banyak masa ditempat kerja dan menjalankan perniagaan sampingan. Kami pasti punya banyak masa untuk keluarga dan masyarakat.” Ujarnya.

Seorang lagi pekerja industri di Prai yang ditemui Mas Bairi Bin Hasan,29, yang kini menetap di Sungai Petani pula berpendapat, gaji yang diterima oleh para pekerja bawahan industri memang tidak patut lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan lain pasti membebankan golongan ini.

“Cuba bayangkan dengan gaji pokok di sekitar RM400.00 – RM500.00 apa yang boleh dibuat. Jadi saya amat berharap MTUC benar-benar mendesak kerajaan untuk melaksanakan dasar gaji minima bagi pekerja.”

“MTUC yang mewakili para pekerja di sector swasta khususnya pekerja industri wajar membuat desakan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan dasar ini.. Manakala pihak kerajaan yang mengatakan sebagai pembela rakyat dan sering mengucapkan bahawa Negara kita ini makmur mesti membuktikan bahawa Negara ini benar-benar-benar makmur.”

“Apabila kerajaan menaikan minyak mereka seringkali membandingkan dengan singapura mengapa dalam soal ini kerajaan kita tidak mahu membandingkan gaji para pekerja Negara ini dengan singapura yang diketahui jauh lebih tinggi daripada Negara kita.” Katanya kepada WARTAWAN RAKYAT.

Wartawan Rakyat juga sempat menebual seorang lagi pekerja industri di Prai yang kini tinggal di Butterworth, Azhar Ahmad,35, selama ini pihak kerajaan sentiasa menganak tirikan para pekerja di sector swasta. Memang setiap kali pembentangan bajet para pekerja di sector swasta tidak mendapat banyak faedah yang sering mendapat faedah ialah majikan.

“Saya meminta pihak MTUC agar lebih aggresif mendesak pihak kerajaan dan tunjukkan kepada kerajaan bahawa pekerja di sector swasta khususnya industri juga banyak menyumbang kea rah pembangunan Negara.”

“Tidakkah para pemimpin kerajaan sedar, apa yang dapat dibuat dengan gaji sebanyak itu. Rata-rata yang menerima gaji kecil itu adalah pekerja melayu sedangkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO sering mendakwa menjadi perjuang dan pembela bangsa. Jadi dalam soal ini di mana mereka meletakan prinsip perjuangan itu?” soalnya.


Ada suara-suara sumbang yang mengatakan jika kita memberikan para pekerja kita gaji mahal para pelabur akan lari. Persoalannya kenapa pihak kerajaan yang mempromosi untuk menarik pelabur asing ke negara ini menjaja gaji pekerja di negara ini ditahap itu? Mengapa pihak kerajaan yang mempromosikan program menarik pelabur tidak mengenengahkan kemahiran pekerja negara kita yang telah lebih 30 tahun bergiat dibidang perindustrian sejak tahun 60an?


Kita semua tahu, urusniaga dunia menggunakan mata wang amerika jadi jika gaji pekerja negara ini dilingkungan RM450.00 – RM550.00 berapa nilainya mata wang amerika? Gaji pereja Malaysia mengikut kadar wang amerika hanya RA 173.00 – RA 211.00. Dan berapalah nilainya jika gaji pekerja dibayar sebanyak RM900.00 serta elaun RM300.00 menjadikan RM1200.00 sepertimana yang diminta oleh MTUC. Kalau gaji minima yang diminta sebanyak itu mengikut mata wang amerika hanya sekitar RA415.00.

Mengapa begitu berat sangat kerajaan Negara ini hendak melaksanakannya? Kalau kita kata pelabur akan lari jika kos pekerja tinggi, dakwaan itu tidak dapat diterima kerana kita lihat di singapura sendiri kenapa pelabur tetap terus melabur di Negara itu. Pelabur tidak akan lari sekiranya para pekerja yang kita bekalkan mempunyai kemahiran yang tinggi. Jesteru itu di harap pihak kerajaan yang lagi berdolak dalih dalam soal ini.

Mengikut takrifan polisi gaji minimum yang dikeluarkan oleh "International Labour Organization" atau ILO, gaji minimum adalah satu amaun minimum yang ideal, yang harus dibayar oleh majikan kepada pekerjanya bersesuaian dengan keperluan minimum harian seseorang pekerja dan keluarganya.

Kadar gaji minimum juga haruslah selari dengan keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara. Bayaran yang dibuat adalah mengikut kadar kiraan bulanan, harian atau jam. Kira-kira lebih 90% negara di seluruh dunia mengamalkan dasar gaji minimum yang bersesuaian dengan sistem ekonomi negara masing-masing.

Ada negara yang telah menguatkuasakan dasar gaji minimum seawal tahun 1900-an. Negara Australia umpamanya telah menguatkuasakan dasar gaji minimum seawal 1904, manakala negara Amerika Syarikat pula telah memperkenalkan dasar gaji minimum sejak tahun 1938. Dasar gaji minimum ini bukan sahaja diterima pakai di negara-negara maju, malahan ia turut dilaksanakan di negara-negara dunia ketiga seperti Korea Selatan dan Sri Lanka.

Terdapat pelbagai kebaikan sekiranya dasar gaji minimum yang ideal dan manusiawi dapat dikuatkuasakan. Jika diukur daripada takrifan gaji minimum yang dikeluarkan oleh ILO, ia dengan jelas menunjukkan bahawa dasar gaji minimum merupakan salah satu kunci bagi menangani masalah kemiskinan serta dapat meningkatkan pendapatan bagi pekerja yang bergaji rendah. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang pekerja dan keluarganya.
Dasar ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pekerja semata-mata, malahan ia juga memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Ini adalah kerana dasar gaji minimum boleh meningkatkan kuasa beli dan kadar belanjawan pekerja. Sebagai contoh, pekerja yang berpendapatan rendah sebelum ini, dapat memperuntukkan gajinya untuk berbelanja dan bercuti bersama keluarga.

Selain itu, kebergantungan pekerja terhadap kerajaan juga akan berkurangan bilamana dengan pendapatan yang sesuai dengan keadaan semasa ekonomi serta sosial negara, maka pekerja dapat mengatasi beban kewangan yang ditanggung serta tidak bergantung kepada dasar kebajikan kerajaan semata-mata. Kesannya, pihak kerajaan mempunyai peruntukan dana yang lebih untuk disalurkan kepada sektor yang lebih mendesak serta memerlukan.

Jesteru itu kerajaan wajar memperkenalkan dasar gaji minimum pekerja di negara ini dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan rakyat serta usaha mewujudkan keluarga bahagian dan membasmi gejala sosial yang semakin ketara dikalangan remaja di negara ini. Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan permohonan yang di buat oleh pihak MTUC demi untuk kemaslatan para pekerja di negara ini dan mereka benar-benar merasakan negara ini benar-benar makmur seperti yang sering diucapkan oleh para pemimpin negara.

Thursday, September 11, 2008

PRIHATIN

PERSATUAN BEKAS POLIS WAJIB BANTU SALEH

BUKIT MERTAJAM: Persatuan Bekas Polis Cawangan Pulau Pinang khususnya Seberang Perai disaran untuk memberi sedikit perhatian dan membela Saleh Lazim, 77, seorang bekas polis bantuan (AC) dizaman darurat tapi telah bertahun-tahun berada dalam keadaan kurang siuman.

Beliau akan merayau dengan pakaian yang tidak terurus di kawasan kampung Machang Bubok. Satu keanihan beliau tidak mengganggu orang awam dan beliau akan bayar apabila makan. Sekiranya tidak cukup belanja beliau akan meminta daripada orang yang dikenali saja.

Wartawan Rakyat sempat menebual rakan sejawatnya Dahaman Awang, 77, bagi mendapatkan cerita peristiwa rakan sejawatnya itu sehingga menjadi tidak siuman.

Menurut Dahaman, beliau dan Saleh telah memasuki pasukan polis bantuan pada dan telah menjalani latihan di padang BMRC (Bukit Mertajam Recreration Club). Kini tapak itu telah dibangunkan hotel dan pusat perniagaan summit.

“Saya menggunakan no. dan Saleh menggunakan nombor. Selepas menjalani latihan kami dihantar berkawal empangan yang menyalurkan air ke stesen keretapi di atas Bukit Seraya di Machang Bubok.”

“Saya tak lama di situ kemudian di tukar ke Simpang Empat dan Saleh terus kekal di Bukit Seraya sehinggalah beliau menembak seekor kera putih. Mengikut cerita kawan-kawan saya yang berada bersama Saleh waktu itu, selepas beliau menembak kera putih lalu melempar senapang dan berlari turun ke kampung Machang Bubok dan menjadi tidak siuman hingga kini.”

“Semasa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM1000.00 bagi setiap anggota pasukan polis bantuan dan mendaftar mereka sebagai ahli persatuan bekas anggota polis. Saya cuba membantu beliau tetapi saya tidak punya kenderaan untuk bawa beliau ambil gambar dan pergi ke pejabat persatuan.” Cerita Dahaman kepada Wartawan Rakyat.

Menurut Setiausaha JKKK (P), Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Hj. Mohd Jamin Hj. Ahmad, Saleh Lazim selama ini berada dibawah pengawasaan dan seliaan jawatankuasa ini berhubungan dengan kebajikan dan kesihatan beliau.

“Setakat ini beliau menerima bantuan Jabatan Kebajikan dan pihak JKKK(P) telah melantik seorang pemegagang amanah. Masalah beliau kini beliau lebih senang merayau dan sering menjadikan masjid sebagai tempat tidur beliau. Pernah sautu ketika orang kampung membuat pondok untuk beliau tinggal tetapi ditinggallkan begitu saja.”

Jadi sempena sambutan Hari Raya tahun ini saya berharap pihak Persatuan Bekas Polis dapat melakukan sesuatu sekurang-kurangnya sebagai penghargaan terhadap khidmat yang pernah diberi.” Ujar Hj. Mohd Jamin kepada Wartawan Rakyat.

Setiausaha JKKK(P) itu memberitahu Wartawan Rakyat, sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, derma atau pun zakat boleh menghubungi beliau di talian 013-3658268.

Friday, August 29, 2008

MINDA BLOGGER

Salam Perkenalan dan Salam hormat

KINI muncul pula blog WARTAWAN RAKYAT bagi menghangatkan dunia maya tanpa sempadan di negara kita. Blog ini adalah blog yang ke-11 yang saya bina. Walaupun saya mungkin menghadapi kesukaran untuk menguruskannya tapi saya tetap berazam untuk memberikan yang terbaik

Cetusan idea membina blog ini setelah melalui satu episod yang sedikit mendebarkan bersama sahabat saya omara. Biarlah perkara ini kami berdua saja yang tahu. Omara adalah seorang pengiat seni dan budaya yang memiliki blog WARISAN BORIA dan WARISAN GHAZAL PARTI.

Dalam negara yang sering dikatakan makmur ini masih banyak terdapat insan atau rakyat negara ini yang hidup menderita dan tersisih jauh daripada arus kemajuan. Dalam negara yang dikatakan makmur ini, masih terdapat rakyat yang masih berhempas pulas semata-mata untuk mendapat rezeki umpama ayam yang kais pagi untuk makan pagi dan kais petang untuk makan petang.

Dalam negara yang dikatakan maju ini masih lagi terdapat rakyat yang tidak mempunyai kemudahan asas yang sempurna. Dalam negara yang mana dikatakan memberikan pelbagai peluang untuk rakyat, masih terdapat rakyat terutama golongan perniaga mengambil pinjaman dari along dan seterusnya menimbulkan pelbagai masalah untuk dirinya dan keluarga.

Dalam negara yang dikatakan sejahtera ini masih terdapat rakyat yang hidup sentiasa dalam ketakutan. Takut dirompak, diragut ,dicolek dan sebagainya. Dalam negara yang dikatakan mempunyai temadun yang tinggi masih terdapat mereka yang terbiar tanpa pembelaan.

Banyak isu-isu begini selalu terlepas pandang oleh pihak pemerintah dan jarang mendapat perhatian pihak media untuk mengetengahkannya agar pihak berkuasa mengambil tindakan.

Jesteru kesedaran ini saya mengambil kesempatan membina blog WARTAWAN RAKYAT yang bertujuan untuk mengetengahkan isu-isu ini kepengetahuan masyarakat dan seterusnya pemerintah agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Blog ini juga akan membuka kepada orang-orang kaya yang ingin mengeluarkan zakat tetapi tidak tahu di mana hendak memberinya. Orang-orang kaya boleh mengutip insan-insan malang yang dipaparkan dalam blog ini dari masa ke semasa.

Bagi mendapatkan bahan dan memberikan persembahan yang menarik saya menyeru pelayar-pelayar internet yang budiman dapat menghulurkan derma dalam usaha bloger mengali cerita-cerita seumpama ini di serata ceruk. Tanpa bantuan dan sokongan Tuan/Puan saya akan buat sekadar yang termampu dan terdaya oleh saya.

Usaha murni ini akan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Ini adalah sumbangan saya kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dengan bakat dan kepakaran yang saya miliki.

Salam hormat dari saya.