Sunday, February 14, 2021

CERITA AKU : TAK KENAL MAKA TAK CINTA BHG. 1

 SETELAH lebih  tiga dekad  saya berada dalam dunia penulisan baru kini saya  ingin menurunkan ilmu penulisan kepada mereka yang berminat.  Sebelum ini memang ada beberapa orang individu yang menyatakan hasratnya untuk belajar menulis tapi saya tolak kerana susah dan perlukan banyak masa kalau hendak belajar dari zero. Ketika itu juga saya sibuk dengan rautin saya.

          Ketika pertama kali saya menemui Ustaz Azizi Hj. Abdullah atau saya panggil Tukya meminta bimbingannya, saya bawa sebuah cerpen yang telah tersiar yang berjudul “MENCARI CINTA” dan saya tulis cerpen lain yang berjudul “NENEK UTIH”. Saya juga menyatakan hasrat saya untuk belajar menulis Skrip Drama TV tapi Ustaz Azizi Hj. Abdullah tolak juga kerana rautinnya yang sibuk menulis.

Saya juga  sama sepertimana orang lain amat teruja untuk melatih dan punya anak didik dalam bidang yang diceburi. Namun keadaan ketika itu masih belum mengizinkan,  hanya kini saya dapat terjemahkan hasrat ini.

Saya memang amat berminat menulis terutama untuk menghasilkan skrip drama TV. Di awal remaja saya tanpa ilmu dan tanpa bimbingan saya telah menulis drama dan menghantarnya ke slot drama minggu ini terbitan RTM. Karya saya tidak disiarkan namun beberapa lama selepas itu idea saya telah diambil dan disiarkan oleh pihak TV. Selepas itu saya berazam tidak akan menulis lagi sehingga saya mendapat teknik untuk menghasilkan drama dan berjumpa dengan orang yang betul.

Lalu saya  mula dengan menulis diruangan forum di akhbar tempatan. Apa  saja yang saya tulis dan hantar disiarkan menyakinkan  yang saya mampu menulis. Idea penulisan saya diterima. Ketika saya giat menulis di forum saya mendapat tahu yang Pejabat  Belia & Sukan Daerah SPT dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Kursus Penulisan Kreatif Hujung Minggu. Saya mendaftarkan diri untuk mengikut kursus tersebut.

Memang ketika saya menghadiri kursus tersebut bahan-bahan yang hendak digarap telah sendat di otak kepala saya, Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk mencanainya menjadi karya.  Kursus tersebut dibimbing oleh Drs. Darwis Harahap Guru Bahasa di USM Pulau Pinang. Alhamdulillah bimbingan Drs Darwis Harahap saya mampu menulis. Sejak itu saya tulis dan menulis.

Sebenarnya ketika saya aktif menulis khususnya politik dahulu saya hampir-hampir berjaya menerbit empat buah buku. Dua manuksrip buku politik  telah saya serahkan kepada En. Ahmad  seorang penerbit dari Pulau Pinang tetapi menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur dan beliau telah membuat bayaran pendahuluan.  Entah mengapa akhirnya beliau membatalkan hasratnya.

Dua lagi manuskrip buku politik mengenai politik di Pulau Pinang.  Saya telah mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menulis sebuah buku politik melayu Pulau Pinang. Ketika itu Datuk Seri Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Manakala senaskah buku politik atas permintaan Datuk Dr. Ibrahim Saad (kini Tan Sri Dr.), ketika itu merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, beliau meminta saya menulis mengenai UMNO Bukit Mertajam untuk menjadi dokumentasi di masa depan. Saya telah menemubual agak ramai tokoh-tokoh politik UMNO Bukit Mertajam dan menulisnya.

Sayang  seribu kali sayang ketika kedua-dua buku itu hampir siap tiba-tiba berlaku peristiwa hitam 3 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim di singkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kemudiannya keahlian UMNO menyebabkan kedua-dua manuskrip itu  itu terus berada dalam simpanan.  Selepas penyingkiran itu  tokoh-tokoh politik sibuk membetulkan keadaan kerana penyingkiran itu telah meletuskan gerakan reformasi.

Lama selepas itu saya telah dicabar oleh Tok Guru Menulis tak formal saya arwah Ustaz Aziz Hj. Abdullah yang saya panggil Tukya. Saya memanggil Ustaz Azizi Tukya kerana ketika pertama kali saya ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim tertera Rumah Tukya. Saya yakin mungkin Ustaz Azizi senang dengan watak Tukya tokoh utama dalam novelnya Seorang Tua Di kaki Gunung. Novel tersebut pernah menjadi buku teks sastera pelajar tingkatan 5 suatu waktu dulu. Lalu saya meminta izin kepadanya untuk memanggil dengan panggilan Tukya.

Tukya melemparkan cabarannya kepada saya apabila  saya terserempak dengan Tukya di kedai makan di kampung saya dan kami berbual mengenai dunia penulisan tiba-tiba tersembur kata-kata ini yang mencabar saya.

”Aku tabik dengan bakat dan kebolehan hang menulis. Hang bukan saja mampu menulis kreatif malah mampu menulis deskritif. Malah aku paling suka tengok hang tulis bab politik, analisa yang hang bagi cukup baik.” katanya.

“Tapi sayang sampai hari ini aku tak tengok pun satu buku atau novel yang berjaya hang terbitkan. Buat buku atau novel tidak sama tulis di akhbar akhirnya orang bungkus nasi lemak. Kalau buku atau novel akan ada di rak buku rumah kita, rak buku perpustakaan dan rakan buku pembaca. Hari ini aku cabar hang.” sambung Tukya.

Saya akui memang masih tidak ada  senaskah buku atau novel yang saya tulis dan diterbitkan. Hanya ada pun beberapa naskah antologi puisi bersama penulis lain. Saya sahut cabaran Tuk Guru Menulis saya, saya balik dan mula mengarap sebuah novel yang saya beri nama “Cinta Anak Tanjung” yang kemudiannya saya ubah menjadi “Hidayah Di Kuala” dan kini saya ubah lagi menjadi “Rusuh Di Kuala”.

BERSAMBUNG BAHAGIAN 2


TERIMA KASIH KERANA MENGIKUTI ARTIKEL DI ATAS JIKA INGIN BELAJAR MENULIS TERUS IKUTI ARTIKEL SEUMPAMA ITU DI SINI. SAYA MOHON UNTUK TUAN/PUAN IKUTI SAMA VIDEO DARI CHANNEL YOUTUBE YANG SAYA BANGUNKAN INI.



BAGI MEREKA YANG SUDAH BOLEH MENULIS, BOLEHLAH MENULIS DI SINI DAN TULISLAH APA SAYA YANG SESUAI DAN UNTUK PENULISAN CERPEN DAN PUISI YANG TERSIAR DI BLOG INI DAN BLOG-BLOG LAIN KELOLAAN SAYA MAKA SAYA AKAN KUMPUL DAN MENGANTOLOGINYA. SILA HANTAR KARYA KE EMEL : nurzaman20@gmail.com








No comments:

Post a Comment