SETELAH lebih tiga dekad saya berada dalam dunia penulisan baru kini saya ingin menurunkan ilmu penulisan kepada mereka yang berminat. Sebelum ini memang ada beberapa orang individu yang menyatakan hasratnya untuk belajar menulis tapi saya tolak kerana susah dan perlukan banyak masa kalau hendak belajar dari zero. Ketika itu juga saya sibuk dengan rautin saya.
Ketika pertama kali saya menemui Ustaz Azizi Hj. Abdullah
atau saya panggil Tukya meminta bimbingannya, saya bawa sebuah cerpen yang
telah tersiar yang berjudul “MENCARI CINTA” dan saya tulis cerpen lain yang
berjudul “NENEK UTIH”. Saya juga menyatakan hasrat saya untuk belajar menulis
Skrip Drama TV tapi Ustaz Azizi Hj. Abdullah tolak juga kerana rautinnya yang
sibuk menulis.
Saya juga sama sepertimana orang lain amat teruja untuk
melatih dan punya anak didik dalam bidang yang diceburi. Namun keadaan ketika
itu masih belum mengizinkan, hanya kini
saya dapat terjemahkan hasrat ini.
Saya memang amat berminat
menulis terutama untuk menghasilkan skrip drama TV. Di awal remaja saya tanpa
ilmu dan tanpa bimbingan saya telah menulis drama dan menghantarnya ke slot
drama minggu ini terbitan RTM. Karya saya tidak disiarkan namun beberapa lama
selepas itu idea saya telah diambil dan disiarkan oleh pihak TV. Selepas itu
saya berazam tidak akan menulis lagi sehingga saya mendapat teknik untuk
menghasilkan drama dan berjumpa dengan orang yang betul.
Lalu saya mula dengan menulis diruangan forum di akhbar
tempatan. Apa saja yang saya tulis dan
hantar disiarkan menyakinkan yang saya
mampu menulis. Idea penulisan saya diterima. Ketika saya giat menulis di forum
saya mendapat tahu yang Pejabat Belia
& Sukan Daerah SPT dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang
akan mengadakan Kursus Penulisan Kreatif Hujung Minggu. Saya mendaftarkan diri
untuk mengikut kursus tersebut.
Memang ketika saya
menghadiri kursus tersebut bahan-bahan yang hendak digarap telah sendat di otak
kepala saya, Cuma saya tidak tahu bagaimana untuk mencanainya menjadi
karya. Kursus tersebut dibimbing oleh
Drs. Darwis Harahap Guru Bahasa di USM Pulau Pinang. Alhamdulillah bimbingan
Drs Darwis Harahap saya mampu menulis. Sejak itu saya tulis dan menulis.
Sebenarnya ketika saya aktif menulis khususnya politik dahulu saya hampir-hampir berjaya menerbit empat buah buku. Dua manuksrip buku politik telah saya serahkan kepada En. Ahmad seorang penerbit dari Pulau Pinang tetapi menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur dan beliau telah membuat bayaran pendahuluan. Entah mengapa akhirnya beliau membatalkan hasratnya.
Dua lagi manuskrip buku
politik mengenai politik di Pulau Pinang.
Saya telah mendapat restu daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
menulis sebuah buku politik melayu Pulau Pinang. Ketika itu Datuk Seri Anwar
merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang.
Manakala senaskah buku
politik atas permintaan Datuk Dr. Ibrahim Saad (kini Tan Sri Dr.), ketika itu
merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, beliau meminta saya menulis
mengenai UMNO Bukit Mertajam untuk menjadi dokumentasi di masa depan. Saya
telah menemubual agak ramai tokoh-tokoh politik UMNO Bukit Mertajam dan
menulisnya.
Sayang seribu kali sayang ketika kedua-dua buku itu hampir siap tiba-tiba berlaku peristiwa hitam 3 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim di singkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kemudiannya keahlian UMNO menyebabkan kedua-dua manuskrip itu itu terus berada dalam simpanan. Selepas penyingkiran itu tokoh-tokoh politik sibuk membetulkan keadaan kerana penyingkiran itu telah meletuskan gerakan reformasi.
Lama selepas itu saya telah
dicabar oleh Tok Guru Menulis tak formal saya arwah Ustaz Aziz Hj. Abdullah
yang saya panggil Tukya. Saya memanggil Ustaz Azizi Tukya kerana ketika pertama
kali saya ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim tertera Rumah Tukya. Saya yakin
mungkin Ustaz Azizi senang dengan watak Tukya tokoh utama dalam novelnya
Seorang Tua Di kaki Gunung. Novel tersebut pernah menjadi buku teks sastera
pelajar tingkatan 5 suatu waktu dulu. Lalu saya meminta izin kepadanya untuk
memanggil dengan panggilan Tukya.
Tukya melemparkan cabarannya
kepada saya apabila saya terserempak
dengan Tukya di kedai makan di kampung saya dan kami berbual mengenai dunia
penulisan tiba-tiba tersembur kata-kata ini yang mencabar saya.
”Aku tabik dengan bakat dan
kebolehan hang menulis. Hang bukan saja mampu menulis kreatif malah mampu
menulis deskritif. Malah aku paling suka tengok hang tulis bab politik, analisa
yang hang bagi cukup baik.” katanya.
“Tapi sayang sampai hari ini
aku tak tengok pun satu buku atau novel yang berjaya hang terbitkan. Buat buku
atau novel tidak sama tulis di akhbar akhirnya orang bungkus nasi lemak. Kalau
buku atau novel akan ada di rak buku rumah kita, rak buku perpustakaan dan rakan
buku pembaca. Hari ini aku cabar hang.” sambung Tukya.
Saya akui memang masih tidak
ada senaskah buku atau novel yang saya
tulis dan diterbitkan. Hanya ada pun beberapa naskah antologi puisi bersama
penulis lain. Saya sahut cabaran Tuk Guru Menulis saya, saya balik dan mula
mengarap sebuah novel yang saya beri nama “Cinta Anak Tanjung” yang kemudiannya
saya ubah menjadi “Hidayah Di Kuala” dan kini saya ubah lagi menjadi “Rusuh Di
Kuala”.
BERSAMBUNG BAHAGIAN 2
TERIMA KASIH KERANA MENGIKUTI ARTIKEL DI ATAS JIKA INGIN BELAJAR MENULIS TERUS IKUTI ARTIKEL SEUMPAMA ITU DI SINI. SAYA MOHON UNTUK TUAN/PUAN IKUTI SAMA VIDEO DARI CHANNEL YOUTUBE YANG SAYA BANGUNKAN INI.